nitial Incident

News

Khutbah Jumaat Negara Brunei Darussalam 21 Mei 2021: Berkerja dan Berwaspada

PUBLISHED:09 June 2021


BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.


Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 73 tafsirnya:

“Dan antara rahmatNya, dia menjadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu dapat beristirehat padaNya (waktu malam) dan dapat mencari rezeki daripada limpah kurnianya (pada waktu siang) dan mudah-mudahan kamu bersyukur.”


Jemaah yang dirahmati Allah,

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala dengan kuasa dan rahmatNya telah mengurniakan nikmat yang begitu banyak dan tidak terhitung banyaknya. Di antara nikmat tersebut ialah dengan menciptakan siang dan malam secara silih berganti untuk para makhlukNya agar mereka dapat beristirehat pada waktu malam dan pada waktu siang pula untuk mengurus kehidupan seperti bekerja dan berusaha mencari rezeki bagi menyara kehidupan dirinya dan juga tanggungannya.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah menjamin dan menetapkan rezeki setiap makhlukNya di muka bumi ini. Sungguhpun demikian ia perlu disertakan dengan usaha dan ikhtiar, bukannya hanya dengan menunggu, enggan bekerja dan enggan berusaha dengan semata-mata beralasan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Perlu diingat, bahawa setiap rezeki dan setiap kejayaan itu perlu diusahakan untuk kita mendapatkannya dan ia tidak akan datang bergolek sendiri tanpa ada sebarang ikhtiar, sebarang kesungguhan dan juga perlu disertai dengan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.


Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam melarang umatnya meminta-minta kepada orang lain sedangkan ia masih bertenaga, berupaya dan mampu untuk bekerja. Dalam agama kita, sifat meminta-minta itu dianggap sebagai perbuatan yang keji dan tercela.

Sesungguhnya orang yang berusaha mencari rezeki yang halal dapat menjauhkan dirinya dari sifat meminta-minta, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakannya ganjaran iaitu dibangkitkan pada hari kiamat kelak dengan wajahnya bagaikan bulan purnama. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan wajahnya bagaikan bulan purnama. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menjelaskan bahawa antara keutamaan dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala bagi orang-orang yang penat dan letih bekerja mencari nafkah demi untuk memenuhi keperluan dirinya, keperluan keluarganya ataupun untuk keperluan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya ialah Allah Subhanahu Wata'ala menghapus kesalahan mereka. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidaklah seorang muslim yang tertimpa musibah, keletihan penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun, melainkan Allah akan menghapus kesalahannya. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)


Dalam agama Islam, bekerja dan berusaha untuk memenuhi keperluan dalam kehidupan itu dianggap sebagai satu ibadah. Terdapat beberapa syarat yang membolehkan sesuatu pekerjaan itu boleh berubah daripada adat kebiasaan kepada amalan ibadah disisi Allah Subhanahu Wata'ala:

Pertama:  Setiap kerja yang dilakukan itu mestilah tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Kedua: Setiap kerja yang halal itu mestilah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketiga: Setiap kerja itu mestilah dilaksanakan dengan penuh itizam, tekun dan dengan kemampuan yang terbaik.

Keempat: Menjaga batas larangan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan menghormati dasar-dasar akhlak dengan tidak melakukan sebarang penipuan, kezaliman, pengkhianatan, termasuklah penyalah gunaan harta, kuasa dan seumpamanya.

Kelima: Setiap pekerjaan yang dilakukan itu tidak menghalang seseorang itu daripada menunaikan kewajipan kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala.


Jemaah yang dirahmati Allah,

Secara umumnya, sebilangan besar daripada masa seharian kita adalah berada ditempat kerja, di mana secara langsung ataupun tidak kita adalah terdedah kepada pelbagai risiko yang membahayakan.

Sesungguhnya tempat kerja yang kurang selamat dan terdapat padanya punca bahaya yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kemalangan dan kemudharatan, boleh menjejaskan kehidupan kita dan keluarga dari segi sosial mahupun kewangan.

Oleh yang demikian, dalam pekerjaan kita seharian, kita hendaklah sentiasa bekerja dengan cara yang selamat dan sihat. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam agar kita menjauhi daripada sebarang kemudharatan atau memudharatkan orang lain. Daripada Abu Said bin Sinanil Khudri Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain. (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)


Bersempena dengan Hari Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja antarabangsa yang disambut pada 28 April setiap tahun, marilah kita sama-sama sentiasa mengamalkan budaya keselamatan di tempat kerja dengan mematuhi perintah keselamatan dan kesihatan tempat kerja, 2009 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Selain itu, kita juga perlu mengamalkan sikap berhati-hati ketika menjalankan tugas, jangan pula disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian kita, ia mengakibatkan kemalangan pada diri kita sendiri dan juga kepada orang lain apatah lagi kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa. Oleh itu, sama-samalah kita mempertingkatkan usaha dengan langkah-langkah keselamatan dan berwaspada dalam melakukan pekerjaan seharian.

Sama-samalah kita berusaha dan membudayakan cara bekerja dengan selamat dan sihat. Disamping itu, sama-samalah kita berdoa semoga apa jua usaha dan pekerjaan yang kita lakukan dikurniakan rezeki yang halal lagi baik, mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan terhindar dari memperolehi hasil pendapatan yang tidak halal. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Nahl ayat 114 tafsirnya:

“Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu (wahai orang-orang yang beriman) dan syukurilah nikmat Allah itu jika benar kamu hanya beribadah kepadaNya.”